Maya Iris Blog Header

Sunday, January 8, 2012

Babak Favorite Penulis: Curahan Cinta Niagara

Ini babak favorite saya dalam Curahan Cinta Niagara. Saya tersenyum semasa menulisnya, saya tersenyum bila sudah jadi buku, dan saya tersenyum bila membacanya.  Para pembaca, jangan ikut cara Mira.  Jangan terjun tingkap tau.. Bahaya...

Anyway,  enjoy!

Sementara para hadirin sedang berdoa untuk roh arwah ayah dan arwah suaminya, Mira duduk termenung di atas sebuah bangku di bawah sebatang pohon rambutan. Sebentar tadi, dia cuba melarikan diri ketika majlis pertunangannya sedang dijalankan. Tapi dia terhenti separuh jalan kerana terasa kakinya seperti dirantai, menghalangnya dari pergi lebih jauh lagi.

Dia terkenangkan kata-kata Faris. ‘Mira, kalau ditakdirkan awak tak jadi isteri saya, saya akan pastikan awak dapat suami yang boleh membahagiakan awak, lebih dari saya boleh membahagiakan awak. Ini janji Faris.’ Itulah janji Faris semasa di New Paltz. ‘Faris mahu kedua-dua orang yang Faris sayang bahagia bersama.’ Itu pula kemahuan Faris di dalam suratnya.

“Betul ke saya boleh bahagia dengan abang awak, Faris?” kata Mira perlahan disertai dengan perasaan curiga. “Ya Allah, jika Farhan benar-benar jodohku, berilah petunjuk kepadaku,” Mira berdoa dengan setulus hatinya. Dia memerlukan satu tanda dari Allah, sebagaimana Allah telah memberinya tanda ketika dia mendapat hidayah untuk bertudung semula.

Ketika itu juga Farhan yang entah dari mana datangnya, melangkah dengan bersahaja ke arah Mira. Tanpa menunggu pelawaan dari Mira, Farhan mengambil tempat duduk di sebelah Mira. Mira mengalih duduknya agar tidak terlalu rapat dengan Farhan. Farhan menjeling jari-jemari Mira yang kosong. Tidak terdapat cincin di jari manis yang sepatutnya tersarung cincin pertunangan darinya. Dia dapat mengagak Mira telah melarikan diri sebelum upacara menyarung cincin.

Mira tidak memandang Farhan, sebaliknya hanya memandang ke hadapan. Farhan juga turut memandang ke arah yang di pandang oleh Mira. Lama mereka duduk dalam keadaan begitu.

“Farhan, kenapa awak nak kahwin dengan saya?” Mira memecah kesunyian. Mata Mira masih memandang ke hadapan menanti jawapan.

Begitu juga Farhan. Merenung jauh. Adakah ini masa yang sesuai untuk memberitahu Mira akan perasaannya? Adakah terlalu awal? Adakah jawapan yang tulus ikhlas darinya akan membuat Mira terkejut dan lari semakin jauh darinya? Berbagai-bagai soalan bermain di mindanya. “Sebab Farhan sayangkan M.. my brother.” Hampir sahaja dia tersebut nama Mira. Dia menjeling kepada Mira, ingin tahu samada Mira perasan ketika dia hampir tersasul tadi. Apabila tiada reaksi dari Mira, dia memandang ke hadapan semula.

“Tapi, saya taknak kahwin dengan awak.”

“Kenapa?” Tanya Farhan tanpa menoleh kepada Mira.

“Saya belum bersedia untuk berkahwin lagi. Saya tak yakin kita akan bahagia. Cara hidup kita berbeza, Farhan.” Mira menoleh ke arah Farhan.
Farhan sempat merenung anak mata Mira dan menyelami ke dasar hati. Dia mencari kalau-kalau namanya terpahat di situ. Apa yang dicarinya tiada di situ. Mira melarikan matanya. Rahang Farhan bergerak-gerak, mengawal perasaannya. Pertama kali dalam hidupnya dia merasa betapa payahnya memikat hati seorang perempuan. Selama ini hanya perempuan yang selalu cuba memikatnya.

“Tapi, kita boleh cuba.” Jawab Farhan. Mira menoleh ke arah Farhan sekali lagi.

“Kenapa orang suka cakap kita boleh cuba dengan perkahwinan? Bagi saya, tiada cuba-cuba dalam perkahwinan. Perkahwinan adalah untuk seumur hidup. Jadi, kalau rasa-rasa takkan bahagia dengan perkahwinan itu, baik batalkan sebelum berkahwin. Itu lebih baik daripada bercerai-berai apabila perkahwinan itu sudah tidak bahagia lagi.” Mira mengulangi kata-kata yang pernah dilafazkan ketika ibunya menyuruh dia cuba dulu.

“Macamana Mira sampai ke sini?” Tiba-tiba Farhan menukar topik. Dia perlu menggunakan taktik lain untuk melembutkan hati Mira. Dia tidak mahu bertegang leher dengan Mira di bawah pohon rambutan itu, sementara ramai tetamu masih menunggu di rumah Mira.

“Saya terjun tingkap,” jawab Mira spontan.

Farhan memandang Mira dari hujung kaki hingga ke hujung kepala. Dia cuba bayangkan Mira yang sedang berbaju kurung dan bertudung lace dengan manik-manik yang bergemerlapan terjun dari tingkap. “Terjun dengan baju tu?” Tanya Farhan sambil tersenyum.

“Emm hmm,” jawab Mira membalas senyuman Farhan. Dia juga rasa gelihati mengenangkan bagaimana dia sanggup terjun dari tingkap dengan berpakaian begitu. Mujur kainnya tidak terkoyak ketika tersangkut di bingkai tingkap.

“Dah biasa buat?” Tanya Farhan lagi.

“Biasa buat apa?” Tanya Mira kehairanan.

“Terjun tingkap,” jawab Farhan dengan wajah yang cuba menahan ketawa. Dari pengamatan sepintas lalu, Farhan berpendapat Mira seorang yang kelakar. Mungkin sebelum ini Mira tidak ada peluang untuk menunjukkan sifat kelakar itu kerana situasi tidak mengizinkan.

“Masa kecik-kecik selalu,” jawab Mira selamba.

“Masa kecik-kecik, terjun tingkap kenapa?”

“Mak tak bagi keluar sebab tak siapkan homework. Tapi kawan dah ajak main.” Kali ini dia memandang Farhan dengan senyuman terukir.

“Oh.. mak tak marah ke?” Farhan mengangkat keningnya sedikit.

“Kalau dia dapat tahu, mesti dia marah. Tapi selalunya, saya balik sebelum dia perasan.” Senyuman Mira semakin melebar teringat kenakalannya semasa kecil.

“Kali ni, rasanya dia marah tak?” Tanya Farhan lembut.

“Mestilah marah.” Mira teringat leteran ibunya jika dia melakukan kesalahan. Jika ibunya marah, pasti panjang leteran ibunya.

“Agaknya dia dah perasan ke?”

“Tak tau.” Mira menjungkitkan bahunya sedikit. Hati kecilnya dapat rasakan, pasti dia akan dileteri oleh ibunya. Masakan ibunya tidak perasan dia hilang dari majlis pertunangannya.

“Let’s find out.. jom kita balik,” Farhan mengajak dengan lembut.

Friday, December 2, 2011

Mahar Cinta Cinderella diulangcetak

Assalamu'alaikum, Setelah berminggu-minggu diberitahu MCC sudah diulangcetak tapi masih belum masuk gudang, akhirnya MCC masuk gudang juga. Memang selama minggu-minggu itu, saya mengalami perasaan yang bercampur-baur. Stok MCC sudah habis, pembaca sudah bertanya bila mereka boleh dapatkan MCC yang ada otograf khas.
Sambil2 itu, sila baca review MCC dari seorang pembaca.. Cik Khaulah, jika awak baca post ini, saya harap awak tak marah saya linkkan review awak di sini.

Wednesday, November 2, 2011

Mahar Cinta Cinderella Naik Carta

Salam, Bulan lepas Mahar Cinta Cinderella berada pada kedudukan no. 3 dalam Carta Novel Dewasa Terlaris PTS bagi bulan September. Bagi bulan November, Mahar Cinta Cinderella naik satu tangga ke kedudukan no. 2. Adakah MCC akan naik ke kedudukan pertama bulan Disember? Semua terpulang pada para pembaca yang masih menyokong saya. Terima kasih diucapkan pada semua. Bagi yang belum baca MCC, buku ini dikategorikan sebagai buku susah letak..

Wednesday, October 12, 2011

Mahar Cinta Cinderella Semanis Kurma

Assalamu'alaikum, Hari ini pejabatku didatangi oleh tetamu terhormat Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah dan suaminya Ustaz Wan Akashah. Rakan-rakan pejabat begitu teruja mahu mendengar ceramah mereka berdua yang bertajuk Keluarga Syurgawi. Dalam ceramah diberikan tip-tip agar mencapai keluarga bahagia yang membawa seisi keluarga ke syurga. Aku mengambil kesempatan mempromosi novel Mahar Cinta Cinderella kepada Ustazah. Rupa-rupanya Ustazah juga berminat membaca novel. Semoga Ustazah menjadikan Mahar Cinta Cinderella sebagai satu novel favorite.

Thursday, October 6, 2011

Mahar Cinta Cinderella No. 3 Terlaris

Salam. Pagi-pagi kelmarin aku melayari internet. Memang kebiasaannya aku akan menyinggah ke website PTS. Nah! Terkejut juga apabila melihat Mahar Cinta Cinderella menduduki tempat ketiga dalam carta terlaris bulan September bagi kategori Novel Dewasa. Mahar Cinta Cinderella baru saja diterbitkan pada bulan Ogos, bulan September sudah masuk carta. Alhamdulillah, aku tidak berhenti mengucapkan syukur sepanjang hari. Hari ini pula, seorang editor di PTS mengatakan novel itu sudah kehabisan stok di gudang. Perasaanku? Terasa seperti dalam hati ada blink-blink...

Saturday, October 1, 2011

Mahar Cinta Cinderella masuk carta

Salam,

Baru sebulan Mahar Cinta Cinderella sudah masuk carta jualan >2000 naskah. Satu berita yang cukup menggembirakan.

http://universitipts.com/index.php/site/comments/prestasi_jualan_judul_januari_-_september_2011/



Aku pun tidak tahu apakah yang menjadi pelaris kepada karya ketiga aku ini. Apakah kerana cover design yang menarik? Mungkin juga, kerana ramai pembaca yang aku temui mengatakan mereka suka dengan design cover novel ini.

Atau tajuknya yang universal? Siapa tidak kenal Cinderella kan? Kalau aku meneruskan dengan tajuk asal 'Cinta Jam 12', apakah prestasinya akan sebaik ini? Wallahu'alam, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya..

Walau apa pun aku bersyukur kepada Allah kerana diberikan daya kreatif untuk menulis..

Friday, September 9, 2011

Mahar Cinta Cinderella di Popular Bookstore

Salam Sayang Semua,

Pada hari Selasa lalu, saya merayau-rayau di IOI Mall, Puchong. Memandangkan saya masih bercuti Raya hari itu, jadi saya ada banyak masa bagi meninjau samada novel Mahar Cinta Cinderella sudah ada di Popular Bookstore. Menurut anak-anak, novel itu masih tiada di kedai buku itu pada hari Jumaat sebelumnya.


Inilah rupa Mahar Cinta Cinderella yang tersusun di pintu hadapan Popular Bookstore, IOI Mall Puchong. Ada diskaun 20% bagi bulan September.

Dapatkanlah segera!! Tidak rugi memilikinya... (menurut kata penulis..hehehe)